Pages

golongan yang istiqomah

Saturday, October 29, 2011



Ayat 13 Surah Al Ahqaf bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata, Tuhan kami ialah Allah. Kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhid-nya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita". Ayat ini menerangkan keadaan golongan yang benar-benar beriman kepada Allah Taala, iaitu orang-orang yang mengakui dan mengatakan, "Tuhan kami adalah Allah", kemudian mereka istiqomah.

Di dalam kitab Ahkam Al Quran, Ibnu Al Arabi menyatakan bahawa istiqomah adalah sentiasa dan berterusan berdiri di atas prinsip kalimah - La ilaha illallah - sehinggalah mati masih di atas kalimah itu tidak sekali-kali berubah dan bertukar serta tetap teguh dalam melaksanakan segala kewajipan yang difardhukan [Ahkam Al Quran, Ibnu Al Arabi, Juzu':7, M/S:69].

Pengakuan dan pendirian mereka tidak dicampuri sedikitpun dengan perbuatan-perbuatan syirik. Mereka menetapi dan mengikuti garis-garis yang telah ditentukan agama, mengikuti perintah-perintah Allah dengan sebenar-benarnya dan menghentikan larangan-laranganNya. Maka golongan ini tidak ada suatu ketakutan pun terhadap nasib mereka di hari Kiamat nanti kerana Allah menjamin keselamatan mereka. Mereka tidak rasa bersedih hati terhadap apa yang mereka tinggalkan di dunia setelah mereka mati kelak, begitu juga terhadap sesuatu yang luput dan hilang selama hidup di dunia itu serta tidak ada penyesalan sedikitpun pada diri mereka.

Apa Erti Pengakuan “Tuhan Kami Ialah Allah”

Dr. Hamka telah menafsirkan bahawa orang-orang yang telah mengatakan “Tuhan kami ialah Allah” ialah bererti yang berkata itu adalah mulutnya, hatinya, seluruh gerak gerinya juga ‘sepak terajangnya’. Walaupun mungkin lidahnya tidak terbuka namun sikap hidupnya telah menyatakan kalimah tersebut.

“Tuhan kami ialah Allah” terbukti dalam ibadahnya, tujuan hidupnya, pandangan hidupnya, tempat dia menaruh harapan, tempat dia merasa takut dan dalam ia menjelaskan tujuan hidupnya. “Tuhan kami ialah Allah” bererti tidak ada tempat tunduk yang lain dan tidak ada rasa takut menghadapi yang lain. Dengan pengakuan “Tuhan Kami Ialah Allah”, maka segala kegiatan segala aktiviti, segala jalan fikiran, segala pertimbangan tertuju kepada Allah dan memandangnya dari segi keredhaan Allah.

“Tuhan kami ialah Allah”, maka yang berlaku ialah hukumNya Yang Maha Kuasa Sejati. “Tuhan kami ialah Allah” bermakna tidak ada undang-undang yang tahan uji melainkan undang-undang syariatNya dan tidak ada pimpinan melainkan pimpinanNya, tidak ada petunjuk melainkan petunjukNya.

“Tuhan kami ialah Allah”! Maka segala yang ada dan segala apa jua pun yang berhubung dan bersangkut paut dengan yang ada, semuanya bergantung kepadaNya. “Tuhan kami ialah Allah”!, Terbukti dapat dilihat, dapat dirasakan dalam segala gerak walaupun mulut tidak berkata-kata, walaupun kaki dan tangan terbelenggu. [Tafsir Al Azhar, Hamka, Juzu':26, M/S:20-21]

Kemudian mereka teguh pada pendiriannya tidak berganjak, tidak ragu-ragu dan tidak berpaling lagi. Itulah istiqomah!

Istiqomah

Apakah istiqomah itu? Para ulama Al Amilin dalam mendefinasikan istiqamah ini ada berbagai-bagai pengertian nama ia tetap menjurus kepada petunjuk yang satu. Di dalam kitab Madarij As Salikin, Ibnu Al Jauzi telah menukilkan pendapat-pendapat mereka sebagaimana berikut [Madarij As Salikin, Ibnu Jauzi, Juzu':2 M/S:104] :

Saidina Abu Bakar R.A ketika ditanya tentang istiqomah beliau mengatakan, “Janganlah engkau mempersekutukan Allah dengan sesuatu apa pun”.

Berkata Kata Saidina Umar Al Khattab, “Istiqomah itu kamu berdiri terus mematuhi suruhan dan larangan Allah tanpa berubah-ubah seperti musang”.

Saidina Uthman R.A pula mengatakan istiqomah ialah, "Ikhlas beramal kerana Allah semata-mata".

Saidina Ali R.A dan Ibnu Abbas R.A berkata, “Berterusan dalam menunaikan kewajipan yang difardhukan”.

Hasan Al Basri R.H berkata, “Berpegang teguhlah kepada perintah Allah, lakukan dengan ketaatan padaNya dan jauhilah maksiat dan kederhakaan kepadaNya”.

Ibnu Taimiyah R.H mengatakan bahawa istiqomah itu ialah, "Menyintai Allah dan mengabdi kepadaNya tanpa berpaling kiri dan kanan".

Memburu Kejayaan & Kebahagiaan Abadi Dengan Istiqomah

Istiqomah adalah antara sifat unggul Islam yang akan menjamin kejayaan di dunia dan akhirat. Walau amat sukar dalam hidup ini untuk istiqamah atas kebenaran, berdiri teguh sepanjang masa, berada di atas kebenaran dan petunjuk, tanpa berpaling ke kiri atau ke kanan namun ia adalah asas untuk hidup beragama dan jalan keselamatan kerana dia merupakan sebesar-besar karamah (kemuliaan) di dunia dalam menuju karamah yang abadi iaitu syurga. Rasulullah S.A.W pernah bersabda, "Surah Hud menyebabkan rambutku beruban" [Tafsir Ibnu Katsir, Ibnu Katsir, Juzu':4, M/S:302].

Sabda baginda ini merujuk kepada ayat berkaitan dengan istiqamah di dalam surah Hud. Ia menggambarkan betapa penting dan sukarnya untuk istiqamah.

Ibnu Qayyim Al Jauziyyah pernah mendengar Ibnu Taimiyah menyatakan, “Sehebat-hebat karamah ialah melazimi (sesuatu perkara dengan) istiqomah" [Madarij As Salikin, Ibnu Al Jauzi, Juzu':2, M/S:106]. Justeru itu, jika seseorang boleh berjalan di atas air atau boleh terbang di udara, ia bukanlah bukti bahawa Allah memuliakannya dengan karamah melainkan setelah dapat berpegang teguh dengan kebenaran yang berupa segala perintah mahupun larangan Allah kerana istiqomah adalah satu-satunya syarat untuk mendapatkan karamah.

Dalam hadis yang diriwayatkan Imam Muslim, Sufyan bin Abdillah R.A pernah bertanya Rasulullah S.A.W, “Wahai RasulAllah, beritahuku dalam Islam ini satu perkataan yang aku tidak perlu bertanya sesiapa lagi selepas ini”. Jawab Nabi S.A.W, “Katakan aku beriman kepada Allah, kemudian kamu beristiqamahlah” [Riwayat Muslim No:58].

Perjalanan hidup Para Nabi dan Rasul adalah contoh terbaik dalam menterjemahkan makna istiqomah. Mereka sangat terkemuka di tengah-tengah masyarakat manusia malah di depan Allah Taala, bukan kerana mereka beriman dan beramal saleh semata-mata, lebih dari itu Para Nabi dan Rasul ini adalah orang-orang pilihan yang memiliki “keteguhan” dalam iman dan amal saleh mereka.

Betapa istiqomah dan teguhnya prinsip dakwah Rasulullah S.A.W ketika dipujuk oleh bapa saudaranya Abu Talib supaya berhenti berdakwah, Baginda lalu berkata, “Sekalipun jika diletakkan bulan di tangan kiri ku dan matahari di tangan kanan ku, namun untuk aku memberhentikan usaha dakwah ini tidak sama sekali. Aku akan teruskan sama ada aku berjaya atau mati dalam usaha ku ini” [Hadith Riwayat Al Baihaqi No:522].

Itulah keteguhan yang yang bernyala-nyala, yang ada dalam diri Rasulullah S.A.W sehingga Baginda berhasil merealisasikan impiannya untuk mengislamkan manusia. Istiqamah tidak mengenal jemu, payah, ugutan dan bujukan dalam perjuangannya. Lihatlah bagaimana Rasulullah S.A.W memulakan perjuangannya di Makkah tetapi terhalang. Tidak putus asa, Baginda bergerak mencari sinar di Taif, masih ditolak. Kemudian hijrah sebilangan Sahabat-nya memohon “suaka politik” di Habsyah. Dan akhirnya menemui cahaya kemenangan di Kota Madinah dan kembali semula “membuka” kota Makkah. Baginda tidak mengenal undur, kerana hanya dengan istiqomah ia boleh membawa kejayaan.

Kejayaan Rasulullah S.A.W terpaksa “mengorbankan” deretan Para Sahabat yang sangat disayanginya bermula dengan syahidnya Sumayyah, Yassir, Saidina Hamzah, Saad bin Muaz, Hanzalah, Mus’ab dan lain-lain. Mereka juga golongan yang sangat istiqomah. Bahkan sekian lama Baginda sendiri telah mengorbankan segala kesenangan, kerehatan, keselesaan dan kecintaannya demi sebuah kalimah La Ilaha IllaLlah.

Nabi Ibrahim AS dengan jiwanya yang sangat istiqomah itu telah berkali-kali diuji oleh Allah. Ibrahim berputus arang dengan bapanya (Azar) kerana Allah demi menzahirkan prinsip keimanannya. Dia juga tetap teguh ketika dicampakkan ke dalam api besar yang membara oleh Raja Namrud kerana kejituan imannya terhadapa Allah. Baginda juga dengan tulus ikhlas sanggup mengorbankan puteranya Ismail. Sebagai orang tua, Ibrahim sangat sayang kepada puteranya. Tetapi walau bagaimana sayang sekalipun kepada anaknya, Baginda terus menggengam dengan penuh keteguhan bahawa Allah Taala tetap nombor satu.

Inilah istiqomah. Dengan terbuktinya keteguhan Baginda S.A.W, Allah mengambil Ibrahim sebagai hamba kesayanganNya sehingga digelar khaliluLlah sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud, “Siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah, ia berbuat kebaikan dan mengikuti agama Ibrahim yang lurus (benar). Dan Allah telah menjadikan Ibrahim (Nabi) kesayang-Nya”. [An Nisa':125]

Begitulah hebatnya dan besarnya pengertian istiqomah. Itulah jalan Para Nabi sepanjang zaman. Para pengikut Nabi juga, wajib menyelusuri jalan ini. Di sini kita lihat, besarnya peranan istiqomah dan tidak hairanlah mengapa Allah Taala menjanjikan balasan yang besar kepada mereka yang beristiqomah. Allah Taala menjanjikan kebahagiaan kepada golongan yang berpegang teguh dan istiqomah dalam perjuangan dan kebenaran. Kebahagiaan itu adalah syurga di mana di sana tiada lagi hati-hati yang merasa kebimbangan, ketakutan dan kesedihan, mereka kekal di dalamnya. Kenyataan ini tergambar dalam firman Allah di dalam Al Quran, "Merekalah ahli syurga, tetap kekallah mereka di dalamnya sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan". [Al Ahqaf:14]

Sebaliknya orang yang goyah pendiriannya seperti lalang ditiup angin, tidak konsisten dan tidak teguh prinsipnya dalam aqidah, iman, Islam dan termasuk beramal saleh tidak disebut menjadi penghuni syurga apalagi kekal di dalamnya. Semua ini menjelaskan kepada kita bahawa istiqomah (teguh pendirian dan amalan) mesti kita miliki, kerana dengan istiqamah manusia akan menjadi mulia di khalayak ramai dan di depan Allah Taala.

Sesiapa yang memilikinya pasti dijanjikan balasan syurga, tiada ketakutan dan dukacita. Para Malaikat akan turun kepada mereka ketika hampirnya ajal untuk menenangkan dan meneguhkan jiwa golongan ini. Dalam dunia yang dipenuhi kefasadan ini, untuk istiqamah bukanlah perkara mudah tapi sewajibnya melalui tarbiah jiwa yang sarat dengan mujahadah dan tazkiah (penyucian).


sumber : http://tarbawi.my/index.php/inspirasi/minda-pejuang/144-golongan-yang-istiqomah

tazkirah buat diri~

Wednesday, October 12, 2011



ukhti nita..al-Faqir ilallah...

" berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan atau pun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui " At-Taubah : 41

" sesungguhnya dalam kesulitan ada kemudahan " Ar-Syarh : 5

" wahai orang-orang yang beriman! jika kamu menolong agama Allah, nescaya Allah kan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu " surah Muhammad : 7